Wednesday, December 5, 2012

Senjata Pemusnah yang Dahsyat (Senjata Biologi dan Kimia)


            Selepas berlakunya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, tiada lagi istilah “keamanan” di dunia ini. Setiap hari kita difahamkan terdapat peperangan yang berlaku di pelosok dunia. Kerakusan manusia yang semakin serius menyebabkan keadaan kucar-kacir berlaku.  Senjata yang digunakan dalam peperangan sangat canggih dan boleh menghapuskan bilangan musuh yang amat tinggi dalam sekelip mata. Rifle, bom tangan, kereta kebal dan jet pejuang bukan lagi senjata yang canggih dan digeruni. Bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki telah membuka tirai senjata moden yang sangat dahsyat kuasa pemusnahnya. Senjata nuklear, senjata biologi dan senjata kimia adalah hasil kecanggihan teknologi dalam bidang ketenteraan yang mampu memusnahkan segala-gala dalam jangka masa pendek. Senjata-senjata tersebut seolah-olah menjadi kunci bagi gerbang kiamat. Senjata biologi dan senjata kimia, selain senjata nuklear, adalah antara senjara pemusnah era moden. Penggunaan senjata biologi seperti Anthrax dan senjata kimia seperti gas saraf dalam peperangan serta pelbagai serangan keganasan semakin berkembang dan menjadi ancaman terbaharu kepada dunia sejagat. Penggunaan kedua-dua jenis senjata ini banyak membawa kesan buruk kepada masyarakat dan dunia.
           

ANTRAX

            Sebagaimana yang kita sedia maklum, penggunaan apa-apa senjata dalam sebarang bentuk keganasan dan peperangan akan meragut nyawa manusia. Namun, dalam kes senjata biologi dan senjata kimia, penggunaannya dapat menyebabkan kehilangan nyawa yang dahsyat. Kedua-dua senjata tersebut berupaya memusnahkan musuh dalam sekelip mata. Senjata biologi yang menggunakan bakteria Anthrax, misalnya, membunuh manusia tanpa disedari. Hal ini demikian kerana bakteria Antrax tidak mempunyai bau dan warna dan dapat tersebar melalui udara dan meliputi kawasan sasaran yang luas. Keadaan ini mengakibatkan pelbagai komplikasi buruk. Mangsa akan mati dalam masa yang singkat dan dalam jumlah yang banyak. Begitu juga halnya dengan senjata kimia yang juga dapat merebak dengan pantas.


AGENT ORANGE

            Penggunaan senjata-senjata berbahaya ini, khususnya senjata kimia, menyebabkan mangsa serangan mengalami kecacatan fizikal. Dalam perang Vietnam, misalnya, tentera Amerika Syarikat telah menggunakan sejenis bahan kimia bernama agent orange. Bahan kimia ini ditaburkan oleh tentera Amerika Syarikat ke dalam hutan bagi menggugurkan daun serta menggondolkan hutan supaya dapat mengesan tentera musuh. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan toksik ini bukan sekadar menggugurkan daun tetapi telah meresap masuk ke dalam tanah, air, malah terbebas di udara. Bahan kimia ini kemudiannya meracuni ekosistem dan rantaian makanan. Mangsa yang terdedah kepada bahan ini mengalami penyakit kulit yang serius, malah ada mangsa yang buta, mengalami masalah keguguran rambut, dan sebagainya. Mangsa yang termakan ikan dan sayur-sayuran yang tercemar oleh bahan ini mengalami kerosakan organ dalam badan.


GAS SARAF

            Penggunaan senjata kimia dalam peperangan, khususnya gas saraf, mampu melumpuhkan dan merosakkan sistem saraf manusia. Gas ini juga dapat menjelaskan serta menghilangkan terus daya ingatan seseorang. Kewarasan fikiran mangsa terjejas dengan teruk. Mereka tertawa atau menangis tanpa henti serta tidak dapat mengawal pancaindera mereka. Ada mangsa yang bertindak ganas dengan membunuh sesiapa sahaja. Tentera Jerman menggunakan gas ini dalam Perang Dunia Kedua dalam usaha hendak menghapuskan musuhnya.  Sebagai akibatnya, banyak mangsa menjadi gila dan akhirnya mati.


MUTASI SEL

Selain itu, penggunaan senjata kimia juga dapat menyebabkan berlakunya mutasi gen. Sebagai contoh, bom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun telah mengeluarkan radiasi yang dahsyat dan keadaan ini mengakibatkan mangsanya mengalami mutasi. Dalam hal ini, genetik atau DNA mangsa akan berubah dan cacat lalu menyebabkan berlakunya mutasi sel dalam badan.  Sebagai kesan daripada keadaan tersebut, mangsa mudah menghidapi pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser. Anak-anak yang dilahirkan oleh mangsa mengalami kecacatan anggota malah tidak kurang juga yang terencat akal. Daya tahan mangsa terhadap penyakit turut merosot dengan teruk dan sesetengah mangsa mengalami kemandulan. Dengan kata yang lain, senjata kimia mengakibatkan peningkatan kes kelahiran bayi cacat, kadar mortaliti, dan penyakit kanser untuk jangka masa panjang.


BOM KIMIA

            Penggunaan kedua-dua jenis senjata maut itu juga mengancam keamanan dunia. Dengan adanya perkembangan teknologi, senjata sedemikian dapat dihasilkan dengan mudah dan kini semakin canggih pula. Senjata biologi yang menjadikan bakteria berbahaya sebagai bahan utama dapat dihantar atau disebarkan melalui pos. Bom-bom kimia pula dapat dihasilkan dengan mudah di tempat-tempat serangan disasarkan. Kecanggihan ini memudahkan pengganas antarabangsa menjalankan misi mereka menyerang sesuatu lokasi atau negara. Keadaan ini mewujudkan kebimbangan manusia sejagat lalu menyebabkan penderitaan berlarutan.


PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Selain itu, senjata kimia turut mencemarkan dan merosakkan sistem ekologi alam sekitar. Senjata kimia “agent orange” yang digunakan tentera Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam telah menyebabkan pokok-pokok kelayuan lalu mati. Hal ini kemudiannya menyebabkan berlakunya penggondolan hutan dan pencemaran alam sekitar. Kerosakan ekologi alam sekitar ini pula menyebabkan hidupan liar pupus manakala kemusnahan hutan telah menjejaskan kawasan tadahan air.


ISI/ KANDUNGAN 7
Untuk mencegah penggunaan senjata maut sedemikian, undang-undang antarabangsa perlu dikuatkuasakan. Sehubungan dengan itu, undang-undang yang mengharamkan senjata nuclear, kimia, dan bakteria seperti yang termaktub dalam Konvokesyen Geneva perlu dipatuhi. Hal ini bermakna, semua negara perlu mengharamkan penghasilan dan penggunaannya. Semua negara besar hendaklah diwajibkan melucutkan senjata kimia dan senjata biologi yang dimiliki.


PENYELESAIAN PBB

            Penubuhan badan pemantauan terhadap penguatkuasaan undang-undang juga perlu. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu memainkan peranan dengan melarang mana-mana negara menghasilkan dan menggunakan senjata kimia dan biologi. Dalam hal ini, pasukan permeriksa senjata PBB diberi kuasa untuk menyiasat negara yang disyaki menghasilkan senjata tersebut. Stok yang dimiliki mereka hendaklah dimusnahkan. Jika negara tersebut enggan memberikan kerjasama, pihak PBB berhak mengenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan terhadap negara tersebut.


Video yang menjelaskan senjata biologi mempunyai impak negatif ke atas alam sekitar.

KESIMPULAN
            Jelas bahawa penggunaan senjata kimia dan biologi lebih banyak memudaratkan kehidupan semua makhluk di dunia ini. Banyak mangsa yang berkorban dan mengalami kecacatan manakala alam sekitar tercemar teruk. Oleh hal yang demikian, penggunaan senjata berbahaya yang merosakkan tamadun manusia ini wajar diharamkan terus supaya keamanan sejagat dapat diwujudkan. Untuk melaksanakan pengharaman itu, pertubuhan yang mewakili kepentingan semua negara di dunia ini perlu menguatkuasakan undang-undang itu tanpa memilih negara kaya atau negara miskin.

9 comments:

  1. Saya pernah terbaca Agent Orange ini akan menyebabkan manusia dan tumbuh-tumbuhan mengalami mutasi gen. Benar ke?

    ReplyDelete
  2. Yang ini saya tak pasti kerana radiasinya tidak sehebat bom nuklear atau atom. Tapi ia akan memudaratkan alam sekitar.

    ReplyDelete
  3. Senjata berbahaya ini harus dilarang daripada dihasil dan digunakan. Lebih-lebih jatuh ke tangan terrorist.

    ReplyDelete
  4. Thanks for comment Agnes!! Ya, jika terrorist ini menggunakan senjata bio/kimia bermotifkan politik, hancur dunia ini!

    ReplyDelete
  5. Apakah perbezaan antara senjata nuklear dengan senjata bio/kimia ni?

    ReplyDelete
  6. Sama-sama merupakan senjata pemusnah yang berbahaya. Tapi senjata nuklear adalah senjata paling dahsyat dan kawasan kemusnahannya lebih luas dan boleh membunuh dalam masa yang singkat.
    Senjata bio/kimia pula akan membunuh dalam tempoh masa yang lebih panjang.

    ReplyDelete
  7. Senjata kimia,biologi dan senjata pemusnah memang tidak dapat dinafikan kegunaannya dalam era Perang Dunia Pertama dan Kedua ini. Ianya memang memberikan implikasi yang sangat teruk kepada mangsa. Lihat sahaja bagaimana Perang Vietnam dan juga keadaaan fizikal rakyat Jepun sewaktu bom atom yang dijatuhkan bagi melumpuhkan kerajaan Jepun. Saya pernah membaca mengenai Weapon Mass Destruction (WMD) tetapi ianya tidak begitu jelas. Mungkin saudara Vincent boleh menjelaskannya?

    ReplyDelete
  8. WMD ini merupakan senjata pemusnah yang mampu memusnahkan infrastruktur atau nyawa manusia dalam masa yang singkat ataupun bagi jangka masa panjang.
    WMD ini berkesan untuk melumpuhkan musuh dari segi politik dan ekonomi.

    ReplyDelete
  9. Biologi kimia dan biologi ini memang dahsyat dan mampu membawa kepada kemusnahan yang besar terhadap segala partikel. Isu ini memang menarik untuk mendalaminya. Langkah untuk mengatasinya perlu secara menyeluruh supaya tidak tersebar luas. Kadang kala peranan PBB itu adalah terhad, apakah langkah-langkah yang lain untuk menyelesainya?

    ReplyDelete